Hakikat Cinta Luar Biasa Yang Jarang Kita Sedar

April 11, 2017

Apabila sebut saja pasal cinta, semua orang teruja, tersipu-sipu dan di fikiran masing-masing pasti akan terbayang cinta antara lelaki dan perempuan.

Tengok! Betapa kecilnya hakikat cinta pada pandangan masyarakat kita sekarang. Cinta itu tidak salah kerana ia adalah fitrah tetapi alangkah indahnya apabila cinta kita adalah kepada Allah dan kerana Allah. Kita perlu sedar bahawa cinta itu ada jenis-jenis dan tingkatannya tersendiri.

Tingkatan cinta yang pertama adalah cinta kepada Allah, yang kedua Rasulullah, ketiga ibu ayah, keempat keluarga dan antara pasangan.

Bilamana kita meletakkan tingkatan cinta yang salah maka kehidupan kita akan terumbang-ambing dan akhirnya berlaku perpecahan. Realiti sekarang, itulah yang berlaku. Jika Allah yang Maha Sempurna pun kita tak mampu untuk cinta, apatah lagi ingin mencintai makhlukNya yang serba kekurangan?

Cinta… bukan hanya perlu diungkapkan tetapi juga perlu dibuktikan melalui perbuatan.

Kita boleh menipu dengan perkataan tetapi perbuatan tidak akan mampu untuk berbohong. Jika mereka berlakon macam mana? Jangan risau kerana selama mana mereka boleh hidup dalam berpura-pura kerana satu saat nanti mereka pasti akan penat untuk berpura-pura. Allah kan ada.

CINTA PERTAMA: ALLAH

Kalau tanya semua orang, “Kamu cintakan Allah?”… mesti jawapannya adalah, “Mestilah aku cintakan Allah, apalah soalan macam tu.”

Alhamdulillah… dia kata dia cintakan Allah, tetapi tidak cukup saudaraku, jom kita semak perbuatan dia adakah selari dengan ungkapan dia cintakan Allah?

“Wahai orang beriman, mengapa kamu katakan apa yang tidak kamu lakukan?” [61:2]

Ayat ini mampu menjadi hujah ke atas kamu atas apa yang kamu kata tetapi kamu tidak berbuat. Memang semua orang boleh katakan aku cintakan Allah tetapi cinta itu memerlukan bukti dan pengorbanan.

Aku ingin tanyakan kepada kamu yang mencintai Allah:

“Macam mana dengan solat kamu?… cukup lima waktu?”

“Macam mana dengan Al-Quran?.. kamu baca, faham dan amalkan tak?”

“Macam mana dengan rumah Allah, masjid?… Kamu imarahkan tak?”

“Macam mana dengan tahajudmu?… sanggup kamu korbankan tidurmu?”

“Ilmu agama kamu macam mana?… kamu pergi tak majlis ilmu?”

Kalau kamu teragak-agak untuk jawab soalan asas macam ini, macam mana kamu boleh katakan kamu mencintai Allah?

Macam mana kamu nak cinta Allah kalau kamu tak kenal pun Dia…kamu tak buat apa yang Allah suka…kamu tak berkorban untuk Allah…

Asas kepada iman adalah ilmu. Kalau ingin beriman dan mencintai Allah, perlukan ilmu kerana kamu perlu kenal Allah untuk mencintaiNya kerana tak kenal maka tak cinta.

ILMU = IMAN = IBADAH = AKHLAK = CINTA ALLAH

CINTA KEDUA: RASULULLAH

Cinta yang kedua adalah cinta kepada Rasulullah.

Bila sebut Rasulullah… tergambar sifat baginda yang sangat indah, akhlak baginda yang sangat mulia. Subhanallah. Bila dengar kisah baginda, mengalir air mata kerinduan. Ya Allah betapa rindunya kita kepada baginda Rasulullah. Kita ingin mencintai baginda Rasulullah tetapi cinta itu juga perlukan ilmu.

Kita perlu tahu apa yang Rasulullah suka buat, apa yang Rasulullah larang. Bagaimana Rasulullah menjalani hidupnya seharian. Apa yang Rasulullah perjuangkan? Kita kata kita cinta kepada Rasul?..Apa buktinya?

“Saad bin Abi Waqas menjadi perisai Rasulullah biarpun badannya dihujani puluhan panah”… Asalkan Rasulullah selamat.

“Ali bin Abi Talib menggantikan tempat tidur Rasullullah di saat hijrahnya ke Madinah biarpun dia tahu di luar sana ada orang yang akan membunuhnya”… Asalkan Rasulullah selamat.

“Abu Bakar sanggup menutup lubang binatang berbisa di Gua Hira’ hinggakan menitis air matanya di pipi Rasulullah kerana kesakitan”… Asalkan Rasulullah selamat.

“Di saat semua gembira ketika khutbah terakhir Rasulullah, namun Abu Bakar menangis kerana tugas Rasulullah telah selesai”… Rasulullah akan meninggalkan mereka.

“Umar Al-Khattab yang kuat, berani dan gagah, pengsan saat mendengar Rasulullah wafat”… Rasulullah telah tiada di sisi mereka.

“Bilal bin Rabah tidak mampu melaungkan azan selepas kewafatan Rasulullah kerana teringatkan Rasullullah”… Aku hanya melaungkan azan untuk Rasulullah.

Kita? Semestinya kita tak mampu untuk menjadi sehebat para sahabat tetapi jika kita mencintai Rasullullah ikutilah ajarannya (Islam) dan sunahnya.

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang kepada keduanya iaitu: Kitab Allah (Al-Quran) dan sunah Rasulullah.”

Kita ingin tahu sejauh mana cinta kita kepada Rasul? Semak sejauh mana kecintaan kita kepada para ulama’. Kenapa?

Kerana ulama’ adalah pewaris nabi.

Rasulullah tidak tinggalkan harta utuk kita tetapi baginda mewariskan ilmu melalui para ulama’.

Jika kita menjadikan ulama’ sebagai musuh, maka bagaimana kesudahan kita nanti? Mudah-mudahan kita akan bersama dengan orang yang kita sayang di akhirat kelak.

CINTA KETIGA: IBU BAPA

Cinta ketiga kita adalah kepada Ibu bapa.

Alhamdulillah kerana kita diberikan ibu bapa yang terbaik oleh Allah SWT yang sentiasa bersabar dengan kita walau senakal dan sedegil mana pun kita. Kasih sayang ibu ayah yang membawa kita ke syurga. Kasih Ibu ayah yang menginginkan kebahagiaan anaknya melebihi dirinya sendiri.

Kasih ibu ayah yang menangis tatkala melihat anaknya menggapai bahagia dan menderita kesusahan. Kasih ibu ayah yang sentiasa memberi kecukupan kepada anaknya walaupun mereka sendiri kekurangan. Kasih ibu ayah yang terasa dengan tingkah laku kasar anaknya namun masih sudi memaafkan si anak.

Kasih ibu ayah yang terguris hatinya namun selalu mereka sembunyikan di sebalik senyuman demi hati anak tersayang. Namun kita? Sanggup menolak dan menderhaka kepada ibu bapa di saat Allah uji kita dengan kejayaan, kekayaan, pangkat dan wanita. Semua itu tiada nilainya disisi Allah. Tiada.

Berbuat baiklah kita kepada ibu ayah dengan penuh kasih sayang kerana mereka adalah syurga kita. Taatilah mereka selagi mana mereka tidak menyuruh kita kepada keburukan. Allah sangat menitikberatkan kewajiban berbuat baik kepada kedua ibu bapa walau siapapun mereka.

Jika mereka taat kepada Allah, alhamdulillah tetapi jika mereka sebaliknya maka kita serahkan kepada Allah kerana itu adalah antara diri mereka dengan Allah.

Sentiasalah kita doakan kedua ibu bapa dan jadilah anak yang soleh dan solehah kerana pahala kita turut mengalir kepada kedua ibu bapa.

Ibu bapa tidak boleh ditukar ganti dan Allah telah memilih ibu bapa yang terbaik untuk kita yang memang sesuai dengan kita kerana hanya Dia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik kepada hamba-hambaNya. Alhamdulillah.

“Keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa.” Ibu bapa redha kepada kita maka bahagialah kita dalam keredhaan Allah.

CINTA TERAKHIR: PASANGAN

Cinta yang terakhir adalah cinta kepada keluarga dan pasangan. Allah telah menciptakan antara kita berpasang-pasangan kerana Allah Maha Tahu fitrah hambaNya yang ingin mencintai dan dicintai.

Tetapi kita mesti menjaga cinta pertama, kedua, dan ketiga. Jika cinta pertama sehingga cinta ketiga kita tidak sempurna, maka kita sangat susah untuk mencari cinta terakhir kerana cinta Allah, Rasulullah dan ibu bapa turut diselitkan dalam mencari cinta ini.

Bagaimana ia berkait rapat?

Jika kita tidak cintakan Allah yang Maha Sempurna macam mana kita ingin mencintai dan menjaga makhlukNya yang banyak kekurangan?

Jika kita tidak mencintai dan kenal Rasulullah, macam mana kita ingin mencontohi keluarga bahagia yang Rasulullah ajarkan? Jika kita tidak mencintai ibu bapa, macam mana kita nak dapatkan restu dan keberkatan dalam hidup berumah tangga?

Cinta Allah mantap, cinta Rasulullah hebat, cinta ibu ayah meletup! InShaaAllah kita akan dapat cinta daripada pasangan yang tip top. Setiap orang pasti menginginkan pasangan yang baik, beriman dan berakhlak mulia. Tetapi ada yang dapat sebaliknya… kenapa dapat yang sebaliknya? Mesti ada hikmahnya yang ALLAH berikan untuk kita hambaNya.

Jika kita sayangkan seseorang biar mampu membawanya kepada ALLAH.

Jika kita sayangkan seseorang biar mampu untuk bimbing dia berubah ke arah kebaikan.

Jika kita sayangkan seseorang biar mampu untuk doakan dia.

Jika kita sayangkan seseorang biar mampu untuk buat dia bahagia.

Sentiasa kirimkan doa untuk mereka yang tersayang sama ada ibu bapa atau pasangan untuk membuktikan kecintaan kita kepada mereka.

Mereka adalah orang-orang terpilih yang kita perjuangkan melalui doa kepada Allah. Mereka adalah orang-orang yang special kerana nama mereka disebut di hadapan Allah. Cinta Allah mantap, cinta Rasulullah hebat, cinta ibu ayah meletup, maka Allah akan mendatangkan cinta insan pilihanNya untuk kita. InShaaAllah. Indah jika semuanya kerana Allah. Cinta luar biasa hanya dengan mencintai Allah dan dicintai olehNya. –ILuvIslam

Article Categories:
Inspirasi · Kepimpinan · Remaja & Cinta · Viral