Asal Usul Gunung Keriang

March 9, 2017

Gunung Keriang merupakan satu peninggalan pra-sejarah silam yang mengandungi pelbagai misteri dan khazanah berharga di dalamnya. Tersergam indah serta dikelilingi oleh pemandangan sawah padi di Kampung Gunung Hulu iaitu lebih kurang 8 kilometer daripada pusat bandar Alor Setar, ibu negeri Kedah.

Walaupun mempunyai ketinggian sekitar 217.92 meter daripada paras laut tetapi ianya tetap digelar sebagai gunung. Gunung Keriang juga dikenali sebagai ‘Mount Caves’ ataupun dengan nama Bukit Gajah dikalangan masyarakat Cina.

Menurut mitos, Gunung Keriang ini berasal daripada sebuah kapal yang membawa Pengantin DiRaja iaitu seorang puteri yang telah disumpah oleh Sang Gedembai menjadi batu disebabkan puteri tersebut enggan berkahwin dengannya. Bukti yang menunjukkan Gunung Keriang berasal daripada sebuah kapal adalah berdasarkan dengan penemuan tali panjang sebesar lengan yang dipercayai tali sebuah kapal.

Tali ini bersambung pada sauhnya yang turut terkena sumpahan Sang Gedembai tersebut. Gunung Keriang juga mempunyai gua di dalamnya yang dipercayai terdapat peninggalan serpihan-serpihan pinggan yang amat banyak kepunyaan tuan puteri.

Sebenarnya Sang Gedembai ataupun Sang Kelembai ini merupakan makhluk mistik yang disifatkan memiliki tubuh yang tinggi dan besar serta menghuni di beberapa hutan tertentu di Malaysia. Mahkluk ini mempunyai kuasa sakti yang boleh menyumpah sesiapa sahaja menjadi batu.

Sehingga kini, terdapat pelbagai mitos mengenai Sang Gedembai di beberapa negeri terutamanya di negeri Perak, Kedah dan Pahang. Tiada siapa yang mengetahui kisah hidup Sang Gedembai atau kemungkinan ianya hanyalah sekadar cerita dongeng rakyat untuk diceritakan kepada kanak-kanak.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa gunung ini berasal daripada sebuah pulau yang mengandungi banyak pokok keriang serta disitulah munculnya nama ‘Gunung Keriang’. Terdapat juga tanda-tanda yang menunjukkan gunung ini berasal daripada sebuah pulau berdasarkan penemuan kulit-kulit kerang dan kepah di sekitar gunung ini.

Yang mana satu betul, wallahualam. Siapa yang tahu kejadian sebenar, bolehlah kongsi bersama dengan orang lain.

Article Tags:
· · ·
Article Categories:
Informasi · Sejarah