Masjid Zahir 104 Tahun Masjid Tertua Di Kedah

March 9, 2017

Masjid Zahir atau juga dikenali sebagai Masjid Zahrah merupakan Masjid Negeri Kedah. Ia terletak di persimpangan Jalan Kampung Perak dan Jalan Pekan Melayu. Bangunan bersejarah ini terletak di tengah-tengah bandar raya Alor Setar bertentangan dengan Balai Besar. Ia juga dikenali sebagai Masjid Raja kerana ia merupakan masjid Diraja dan terletak di perkarangan Istana Pelamin.

Masjid Zahir mula dibina pada 22 Rabiulawal 1330H (11 Mac 1912) atas usaha YTM Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Tajuddin Mukarram Shah. Tapak masjid ini pada asalnya adalah tanah pusara wira–wira Kedah yang telah gugur semasa berjuang mempertahankan negeri Kedah dari serangan Siam pada tahun 1821.

Reka bentuk Masjid Zahir diilhamkan dari Masjid Azizi di Bandar Langkat, Sumatera Utara. Ia dihiasi dengan lima kubah utama sebagai lambang lima Rukun Islam. Upacara perasmian Masjid Zahir dilakukan pada hari Jumaat, 6 Zulhijjah 1333H (15 Oktober 1915) oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Tunku Mahmud telah membaca khutbah Jumaat sementara baginda Sultan Abdul Hamid Shah mengimamkan solat Jumaat. Masjid Zahir merupakan masjid yang tertua di negeri Kedah dan tercantik dari aspek reka bentuk binaanya di Malaysia.

Masjid Zahir mempunyai keluasan tapak kira-kira 124,412 kaki persegi. Dewan tengahnya (Dewan Sembahyang) berukuran 62 x 62 kaki persegi dan dikelilingi oleh beranda berukuran 8 kaki lebar dengan 4 anjung yang setiap satunya terdapat sebuah kubah. Menara utamanya terletak di bahagian timur laut bangunan masjid itu. Setelah 87 tahun selepas pembinaannya, Masjid Zahir telah diperbesarkan sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1960 dan pada tahun 1975.

Disebelah Masjid Zahir terdapat sebuah pejabat untuk Imam Besar, Penghulu Masjid dan juga Bilal. Ini memudahkan mereka untuk menjalankan tugas – tugas yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Ini juga memudahkan jemaah untuk berjumpa dengan mereka jika berlaku apa – apa masalah selain mendekatkan diri mereka dengan penduduk setempat. Tugas–tugas Imam Besar dan juga Penghulu Masjid merangkumi pentadbiran berkaitan aktivti agama serta sosial. Kedua–dua mereka dibantu oleh kakitangan yang telah dilantik yang terdiri daripada imam rawathib, bilal, siak, dan juga tukang kebun.

Masjid Zahir merupakan salah satu destinasi pelancongan yang sering dikunjungi oleh pelancong sama ada dari dalam atau luar negara jika bertandang ke Alor Setar. Ini kerana Masjid Zahir mempunyai sejarah yang mendalam serta seni bina yang unik, menarik serta berbeza jika dibandingkan dengan masjid–masjid lain di Malaysia. Keunikkan Masjid Zahir yang berusia 104 tahun merupakan kebanggaan bagi setiap rakyat negeri Kedah kerana telah membuktikan kepandaian serta kemahiran yang tinggi dan juga mempunyai seni estetika yang setaraf dengan masjid–masjid lain.

Article Tags:
· · · · · ·
Article Categories:
Informasi · Sejarah · Viral