Fattah Pertahankan Kandungan Kerana Buku Tulisan Sendiri

February 14, 2017

Pelakon Fattah Amin, yang menjadi tumpuan selepas buku tulisannya berjudul 99 Kata-Kata #Qalifmoden Fattah Amin dilancarkan, baru-baru ini, berkata beliau hanya mahu berkongsi pengalaman dilaluinya bersama peminat dan penyokongnya sejak awal memulakan kerjaya seni.

Fattah menganggap buku yang dihasilkan adalah perkongsian positif dan pada masa sama menjadi peringatan untuk dirinya supaya tidak pernah melupakan bagaimana beliau bermula dari bawah ketika awal kemunculan, selain bertindak sebagai motivasi tiada apa yang mustahil.

“Saya anggap apa yang berlaku (kritikan netizen di laman sosial mengenai buku tulisannya) sebagai dugaan. Niat saya menerbitkan buku ini hanyalah untuk berkongsi tips dan kata-kata positif serta nasihat supaya terus menjadi insan yang berguna.

“Saya juga mahu buku ini menjadi inspirasi berguna kepada semua, terutama adik-adik kecil untuk membesar dengan baik dan meletakkan impian serta strategi untuk berjaya,” katanya.

Fattah yang popular menerusi drama Suri Hati Mr Pilot berkata, buku tulisannya itu menerapkan nilai untuk tidak mudah berputus asa dan mudah lupa diri, sebaliknya sentiasa beringat bagaimana seseorang itu bermula dan tidak bangga diri. –BH

 

Article Tags:
· · · · ·
Article Categories:
Berita · Isu Semasa Dalam Negara

Comments are closed.