Doa Buat Si Kecil Sofea

February 2, 2017

Sofea masih lagi seorang anak kecil. Umurnya lapan tahun. Kami mengajarnya untuk sentiasa berdoa dan menyebut alhamdulillah. Jika inginkan sesuatu, “berdoalah, nanti InsyaAllah Allah akan makbulkan”.

Saya fikir kerana asuhan tersebut, beliau sering menyebut, “Alhamdulillah, Allah makbulkan doa Sofea.”

Kini beliau selalu memberitahu guru dan kami, “Sofea suka pergi ke Madinah tetapi Sofea tidak pandai bahasa Arab. Mama, bolehkah Sofea bercakap bahasa Inggeris?”

Lalu kami memujuk beliau, “berdoalah supaya Allah memudahkan Sofea belajar bahasa Arab. Nanti cepat pandai. Sebelum pergi, ayah akan minta cikgu ajar Sofea betul-betul.”

Dalam kebanyakan kes, kami mencipta “sesuatu yang luar biasa” apabila beliau mahukan sesuatu. Misalnya, hari ini kami sekeluarga bercuti di sekitar Johor Bharu. Ia sudah dirancang buat sekian lama.

Sofea sayangkan abang Ngah (nota: sedang belajar di Penang) dan kakak Sara (nota: sedang belajar di Shah Alam). Beliau sering menyebut, “kalau abang Ngah adakan best….”

“Sofea berdoalah semoga abang Ngah dengan kakak sempat pulang untuk bersama-sama kita bercuti,” saya dan Roza berulang-ulang berpesan kepadanya.

Dan itulah yang dilakukannya. Usai bersolat lima waktu beliau pasti berdoa. “Ya Allah, bagilah Abang Ngah balik untuk…..”.

Selepas solat Asar – dalam perjalanan ke stesyen keretapi – saya bertanya beliau, “Sofea minta doa untuk abang Ngah?”

Beliau mendiamkan diri. Kemudian menggelengkan kepala. Beliau tahu doanya tidak menjadi kenyataan.

Kami sudah mahu bertolak dan Abang Ngah dan Kakak Sara tidak muncul-muncul.

Akhirnya, apabila mereka menaiki gerabak, saya terdengar suara kuat berkata, “Abang Ngah….. Kakak……” Mereka berpelukan!

Dan apabila keadaan reda, kami ingatkan Sofea, “Allah makbulkan doa-doa Sofea”.

Beliau tersengih dan berkata “Alhamdulillah”.

(Nota: Di belakang tabir, saya telah mengaturkan agar anak-anak kami dapat berkumpul. Saya telah menempah tiket perjalanan Ekspress Rakyat bermula dengan Abang Ngah bertolak dari Butterworth, diikuti oleh kakak Sara di KL Sentral dan kami – Saya, Roza, Amirul dan Sofea – di Segamat.

Pegawai KTM nampak kegembiraan adik-beradik tersebut dan memutarkan tempat duduk supaya mengadap di antara satu sama lain. Ia peristiwa main-main tetapi sangat signifikan buat anak kecil bernama Sofea.)

Penulis : Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim (UiTM)

Article Categories:
Ibu Bapa · Keluarga

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *